Thursday, September 18, 2008

Dari RM1500 jadi RM16000

Jerat hutang peti sejuk

RIZAL membaca surat tuntutan hutang dari ah long yang turut mengancam keselamatan dirinya.

KUALA LUMPUR - Hanya kerana sebuah peti sejuk yang harganya tidak sampai RM1,500, kehidupan Rizal, 30-an (bukan nama sebenar) kini penuh dengan ketakutan apabila diburu lapan ah long.

Semuanya bermula gara-gara tindakannya meminjam RM1,000 daripada seorang ah long untuk membeli sebuah peti sejuk.

"Ketika itu, saya dalam keadaan serabut, saya ternampak kad ah long tertampal di dinding bangunan tempat saya bekerja, jadi saya tak fikir panjang dan terus telefon kerana saya tahu ah long biasanya akan beri duit cepat," katanya.

Rizal yang kelihatan murung semasa wawancara dijalankan, mengakui kegagalan dia membayar hutang itu bukan saja menyebabkan tidurnya tidak lena malah menyebabkan dia menerima pelbagai ancaman.

Disebabkan tindakannya meminjam dengan saluran yang salah itu, ibu bapa serta saudara terdekat turut terkena tempiasnya.

"Saya terima lebih kurang 150 panggilan ugutan dan maki hamun selain menakut-nakutkan dan mengancam mahu 'kacau' isteri dan anak-anak saya," katanya yang lantas membuat laporan polis akibat tidak tahan dengan gangguan tersebut.

Menurut Rizal, pada mulanya dia yakin mampu melangsaikan pinjaman RM1,000 itu namun segala yang direncanakan tak menjadi kerana ada masalah lain.

"Saya kemudiannya berjumpa dengan ah long tu beritahu yang saya tak dapat bayar dalam tempoh selama seminggu yang ditetapkan. Dia tidak marah sangat pada saya.

"Katanya dia boleh tolong saya kenalkan dengan seseorang yang boleh bantu saya bayar duit dia," kata Rizal ketika ditemui di Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat, Pemuda UMNO di sini semalam.

Terkejut bukan kepalang Rizal kerana individu yang diperkenalkan oleh ah long berkenaan adalah ah long juga.

Bagaimanapun, oleh kerana ketika itu dia dihimpit dengan pelbagai tekanan lebih-lebih lagi tidak dapat meneruskan kerjanya, dia menerima juga 'pelawaan' itu meskipun dia sedar akan menyusahkan dan memberi impak buruk kepadanya.

"Hal yang sama juga terjadi kerana saya masih lagi tak mampu bayar. Tahu tak apa ah long kedua itu lakukan? Dia kenalkan saya pada rakan dia yang juga ah long," ujarnya.

Rizal berkata, hal demikian berterusan sehingga dia terjebak dengan lapan ah long hasil 'pertolongan' ah long terdahulu hingga jumlah hutang mencecah lebih RM16,000.

Katanya, majikannya juga menasihatkannya agar meletak jawatan.