Wednesday, June 11, 2008

4 beranak nyaris maut rumah ditembak bertalu-talu



KESAN tembakan rambang (tanda bulat) pada besi pagar sebuah rumah di Taman Teluk Molek, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.


BUTTERWORTH 11 Jun - Empat beranak nyaris maut apabila dua lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan secara rambang bertalu- talu di rumah keluarga itu di Taman Teluk Molek di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu turut mengejutkan penduduk sekitar taman perumahan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Supritendan Mohamad Sukri Awang bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

"Pada awalnya isteri pemilik rumah tidak menghiraukannya kerana menyangkakan bunyi tembakan pistol itu adalah bunyi mercun.

"Tetapi dia terkejut setelah mendapati bunyi itu daripada tembakan pistol yang dilepaskan ke arah rumah mereka oleh dua lelaki bermotosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, keluarga terbabit bernasib baik kerana suspek melepaskan tembakan ke arah tingkat bawah sedangkan semua penghuni rumah tersebut berada di tingkat atas ketika kejadian.

Hasil pemeriksaan, katanya, polis menemui beberapa kesan tembakan pada bahagian rumah mangsa termasuk di pintu pagar, belakang kereta jenis Nissan Sentra milik mangsa dan pintu utama.

Polis turut menemui lapan kelongsong peluru jenis 0.9mm yang selalunya digunakan untuk beberapa jenis senjata api termasuk pistol di beberapa bahagian rumah termasuk di ruang tamu.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian itu.

"Masih terlalu awal untuk dikaitkan dengan Ah Long. Bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengetahui motif sebenar rumah mangsa diserang," katanya.

Beliau memberitahu, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.